Saturday

Hari Ke 108 (Sabtu 7/8)

Harinih adalah hari yang membosankan. Biasalah, weekend kan? Sedangkan weekends masa kat C1 dulu bosan, apatah lagi weekends kat C2 kan? Lepas aje mandi pagi, sementara menunggu pintu rec-yard dibukak, aku main ping pong sama Lam-China. Dia nih aje yang macam aku, asyik tertunggu-tunggu pintu tuh dibukak. Dia tak exercise sangat, biasanya dia melepak tidur kat luar tuh, berbantalkan jacket yang dilipat, ataupun bola. Kat C2 nih banyak bola getah sampaikan diaorang buat alas tidur, atau alas bontot.

Sempatlah jalan pusing-pusing rec-yard dalam 30 rounds, then Jason-Buffalo ajak main chess. Then keluar semula, sembang dengan gang-gang biasa, Ghaly-Egypt, Lam-China, Patel-India, Dr George-Liberia. Diaorang nih semuanya seniors, semuanya beruniform biru, dan semuanya ada special case, tak macam amigos lain yang cuma tunggu masa untuk dideport aje.

Lepas lunch "sembang" sama Dexter-Jamaica kat pintu, dia kata yang dia ada Court Date Isnin nih, kalau asylum dia berjaya, dia akan bebas on the same day. Kalau tak, dia akan dideport. Nampak jugak kelibat Amir-Bosnia yang tengah buat exercise. Semalam dia ada kata yang sekarang nih dia buat hal sendiri-sendiri aje, tak ada dah dia nak exercise sama-sama Yousef-Ssomali, Chen-China atau Ky-Vietnam/US pasal dia gila-gila exercise sebelum dideport.

C.O Schimmel ada kat C2 sekejap harinih so sempat sembang dengan dia, bagus dia nih, cakap perlahan dan beralus aje. Panggil orang pun "Sir". Terkejut dia bila aku kata yang aku suka C1 lagi daripada C2 nih, 100 times over, aku kata gitu. "It's dead here, no actions, no drama, nothing!", aku kata gitu. Dia kata dia ingatkan aku suka senyap-senyap sebab dia kata dia selalu nampak aku menyendiri sambil membaca, menulis, masa kat C1 dulu tuh.

Bila dia tanya kes aku, aku ceritalah pasal Court Dates yang aku dah dan akan pergi, so dia kata yang based on pengalaman dia, aku akan berada kat sini dalam sesebulan setengah aje lagi.

Petang aku tak lama kat rec-yard, meluat aku menengoknya gang-gang amigos yang berkerumun macam ulat taik tuh, muka berkarat semuanya. Gang-gang persembangan aku pun sama, diaorang semuanya melepak kat dalam Unit aje petang nih, sebab bengang kat rec-yard penuh dengan muka-muka Latinos. So macam bodoh ajelah aku petang nih, banyak melepak kat bunk aje sambil makan jajan. Saspen gak aku nih, Puasa tinggal beberapa hari aje lagi nih, dah terbiasa makan jajan siang-siang, nanti sure susah nanti tuh.

Sebelum face count, tulis blog, baca Quran/Terjemahan, dah/baru Juz 20 second round aku nih. Slow gak lah tapi aku akan cuba khatamkan lagi sebelum aku dideport.

Lepas dinner pun sekejap aje kat luar, nasib baik lah Jason-Buffalo asyik membontoti aku, sebab nak main chess. Lepas ambik air sembahyang sebelum Maghrib, masa all those Chocolate (pronounced cho-co-la-tay, gelaran untuk Spanish-speaking guys) dah masuk Unit, sempatlah aku keluar sekejap ke rec-yard, barulah tenang rasanya, aman aje jalan-jalan tanpa ada yang ganggu. Ada lah dalam sesetengah jam pusing-pusing rec-yard, sesambil jenguk ke arah pintu rec-yard C1, tak ada pun yang jenguk-jenguk tanyakan khabar aku. Aku aje lah yang setiap satu pusingan, akan jenguk ke cermin pintu, mengalahkan pungguk yang merindukan bulan lagi.